Persepsi Orang Melayu dan India tentang Pembelajaran Bahasa Cina
Main Article Content
Abstract
Kajian ini dilakukan untuk memperoleh persepsi tentang kepentingan penguasaan bahasa Cina di kalangan orang Melayu dan orang India serta faktor yang mendorong mereka dalam mempelajari bahasa Cina. Selain penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang menjadi keutamaan kepada masyarakat di negara ini, penguasaan terhadap bahasa Cina sekarang menjadi semakin popular untuk dipelajari oleh golongan bukan berbangsa Cina. Metodologi yang digunakan adalah melalui pengutipan data primer dan sekunder iaitu kaedah survei dengan menggunakan set soal selidik dan pengumpulan maklumat juga diperoleh dari buku, jurnal, majalah, artikel serta sumber laman web. Persampelan data secara berstrata dilakukan terlebih dahulu iaitu dengan penglibatan responden seramai 200 orang yang terdiri daripada kalangan golongan awam. Kemudian kesemua responden dibahagikan mengikut beberapa subkumpulan tertentu seperti bangsa, jantina dan tahap pengajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa (1) pembelajaran bahasa Cina di kalangan masyarakat berbangsa Melayu dan India kian meluas berikutan dorongan daripada kepesatan ekonomi yang kebanyakannya dimonopoli oleh orang Cina, (2) pergaulan dengan rakan atau golongan berbangsa Cina juga merupakan faktor utama dalam mendorong kebanyakan responden mempelajari bahasa Cina, (3) pembelajaran bahasa Cina oleh orang Melayu dan India disifatkan sebagai pembukaan lebih banyak ruang pekerjaan pada masa akan datang.